CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, December 20, 2010

IKATAN DUA HATI


Tarikh keramat 19 Disember 1984 menukarkan status aku dari seorang anak gadis pingitan (perasan) kepada seorang isteri. Kini tarikh tersebut menjelang lagi..Sedar tak sedar sudah 26 tahun aku memegang gelaran tersebut ditambah satu lagi status IBU..
Telah banyak onak dan duri yang kami lalui dan rintangi bersama. Saat ini apa yang mampu aku lafazkan hanya SYUKUR kerana Allah telah menganugerahkan aku seorang teman hidup, seorang kekasih, sahabat setia ,seorang pelindung, seorang motivator, seorang pemimpin yang terangkum dalam diri seorang lelaki yang bergelar SUAMI. Dia adalah CINTA dan ANUGERAH Ilahi buatku dan anak-anak.
Betul kata orang dalam sebuah rumahtangga kita jangan terlalu memikirkan perbezaan tetapi harus mencari titik persamaan antara 2 hati dan jiwa. Memang benar antara kami berdua banyak perbezaan dari segi karektor, minat dan pendapat namun persefahaman dan saling menghormati membolehkan kami melayari bahtera rumahtangga dalam aman damai dan bahagia. Syukur Alhamdulillah...
Hubby selalu bercanda kami ibarat sekeping syiling yang mempunyai dua wajah yang berbeza,
namun bergabung menjadi satu dan mempunyai nilai yang tersendiri.... Sekiranya sekeping
syiling mempunyai wajah yang sama pada kedua belah permukaan tentu ianya syiling
yang reject dan tidak bernilai.
Kesabaran adalah tunggak paling utama dalam sebuah rumahtangga tapi sebenarnya yang paling
utuh tahap kesabarannya adalah hubby ku.. Aku banyak kerenahnya.... Sekali lagi pada tarikh
keramat ini dan sepanjang masa aku memanjatkan doa ke hadrat Ilahi yang telah menetapkan
jodoh kami semuga ikatan perkahwinan kekal bahagia dan yang lebih pentingnya sentiasa
dirahmati Allah sepanjang masa
Terima kasih buat anak-anak yang sentiasa mendoakan kami dan tak pernah lupa menghulurkan
ucapan Happy Anniversary di samping pemberian dari kalian semua . Kamu semua permata
hati makdan ayah yang menambahkan lagi serinya rumahtangga yang kami bina .
Setiap dari kalianmempunyai tempat yang teristimewa di hati ayah dan mak.
Moga perjalanan hidup kami akan sentiasa diberkati Allah. Moga dengan bertambah usia
perkahwinan makin bertambah keserasian , kasih sayang, kesefahaman, kecintaan
dan kemesraan
HAPPY ANNIVERSARY buat aku dan HUBBY

Monday, October 25, 2010

KEMBALI KEPADA SUNNAH



Kekadang dalam kehidupan kita yang agak busy kita sering terlupa akan ajaran Rasulullah S.A.W. Alangkah indahnya Islam walaupun amalan ini (potong kuku)sangat mudah dan simple namun Allah telah mengajar manusia hal2 sekecil ini melalui RasulNya.
Sekiranya sebelum ini kita potong kuku pakai hentam aje ...mulai sekarang amalkanlah Sunnah ini moga kita sentiasa berada di atas landasan agama Allah yang benar. Renung2 kanlah

Sunday, October 17, 2010

Nikmat Cuti Hujung Minggu

Alhamdulillah....

Sejak Ramadhan dulu lagi aku tidak berkesempatan bercuti hujung minggu di rumah... Setiap hujung minggu ada saja program yang tak mampu di tolak.. Ada ketikanya aku merasakan hujung minggu adalah hari yang paling sibuk berbanding hari bekerja...
2 hari tu ajelah nak marketing... uruskan tuisyen anak-anak seramai 4 orang tuh... membasuh pakaian kerja ( memang aku basuh pakaian kerja 1 minggu sekali je... basuh tangan la konon) . Shopping barang dapur dan keperluan anak-anak... kekadang tu ada program kat sekolah ... dicelah kesibukan tu... pulang menziarahi abah dan mak...
Hujung minggu semalam pun sepatutnya perancangan awal kami sekeluarga pulang menziarahi abah dan mak...tapi terpaksa dibatalkan kerana ...Nawal yang tetiba nak balik rumah kerana ada kesempatan cuti 3 hari..... Hubby pula terpaksa ke Penang menguruskan surat kebenaran Raihan buat elektif di Malaysia hujung tahun nanti. Kebetulan pula mak mertua operate katarak dan kanta mata...jadi hubby juga perlu uruskan . Dalam kesempitan tu Allah bagi kesempatan pada aku untuk menghabiskan cuti di rumah... Nikmatnya... dapatlah aku mengemas rumah...melipat kain baju melayan selera dengan memasak apa yang aku dan anak2 teringin nak makan...memberi perhatian buat Luqman dan Muhammad Iqbal yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun 17/10 nanti...
ALHAMDULILLAH........ Aku sangat-sangat menghargai saat dan kesempatan ini..

Wednesday, September 29, 2010

RENUNGAN RENUNGAN BUAT PUTERIKU

MOGA ANAK2KU MEMBUAT PILIHAN YANG TEPAT DENGAN NIAT YANG IKHLAS



PESANAN BUAT ANAK-ANAK YANG SEDANG ATAU BAKAL BELAJAR PERUBATAN


Khusus buat:



· Anak-anak yang bergelar pelajar perubatan ( di mana jua anda berada)

· Ibu dan ayah kepada anak-anak di atas



Sedikit pesanan ini dinukilkan oleh seorang yang pernah menjadi pelajar perubatan ( 1986-1991), sudah bergelar doktor selama lebih 19 tahun, menjadi pakar O&G dan pendidik kepada ribuan pelajar perubatan selama 13 tahun. Namun belum berpeluang menjadi ibu kepada seorang pelajar perubatan lagi setakat ini.



Anak-anakku,



Kalian sebenarnya bertuah dipilih Allah SWT mempelajari satu bidang yang amat besar faedah dan manfaatnya buat manusia dan dunia. Apapun yang mendorong kalian membuat keputusan menjadikan bidang ini pilihan, kalian sudah sampai di sini! Betapa ramai rakan kalian yang mengidamkan kerusi yang kalian duduki sekarang ini.



Harapnya, dorongan itu bukanlah semata-mata mahu mencuba nasib, memenuhi hajat dan hasrat kedua ibu bapa dan keluarga yang mahu seorang bergelar `Doktor’ dalam salasilah keturunan, ataupun ingin sentiasa bersama dgn rakan karib lain yang kebetulan juga mendapat tawaran yang sama!



Melihat betapa berlumba-lumba kalian merebut tempat di sekolah perubatan, rasanya seperti ada kempen ` Satu Keluarga Seorang Doktor’ lagaknya.



Jangan kalian terkejut nanti – dengan realiti pengorbanan yang mesti kalian lalui.



Perubatan adalah satu lapangan yang perlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Kalian sendiri yang perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukannya hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar. Kalian akan mulai mendengar perkataan ` self-directed learning- SDL’, student-centred education, life-long learning, community-based learning, inter-professional learning dll.



Pengajar kalian bukan hanya professor dan pensyarah perubatan, malahan yang bergelar pesakit itulah yang paling banyak mengajar dan memberi tunjuk ajar. Para jururawat adalah mentor yang paling berpengalaman dan perlu diberi penghormatan.



Yang paling utama, akhlak kalian – menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Bertuahlah bagi kalian yang sememangnya sudah berbekal dgn didikan sempurna, penuh budi bahasa, tata tertib dan sopan santun yang tinggi semenjak dari rumah lagi. Malanglah kalian yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun kalian begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.



Untuk para ibu dan ayah kepada anak-anak yang bergelar pelajar perubatan,



Mohon dipastikan kalian sudah menyediakan anak-anak kalian dengan baik dan sempurna – terutamanya dalam aspek rohaniah dan akhlaqiah mereka. Mereka akan menjadi doktor perubatan – bukan calang-calang profesyen! Pastikan mereka menjadi pengamal perubatan yang tawadhuk dan sentiasa berhubung erat dengn Rabb.. Selitkan doa yang tidak pernah kunjung padam setiap masa dan ketika, moga Allah SWT memberi bimbinganNya buat anak-anak ini.



Sekiranya kalianlah menjadi SEBAB utama anak-anak berada di sekolah perubatan hari ini, sedangkan itu bukan keinginan dan minat mereka sendiri, bersedialah untuk meminta maaf kepada mereka – terutamanya jika mereka akan berhadapan dgn kesukaran dan keperitan memenuhi hajat dan cita-cita kalian itu. Sokong dan dokonglah mereka sehingga ke akhir nanti – kerana cubaan dan dugaan yang perlu anak-anak ini hadapi bukanlah setakat semasa dalam latihan sahaja, malahan yang lebih mencabar adalah ketika terpikul di bahu mereka tanggungjawab dan amanah yang berat apabila bergelar doktor nanti!



InsyaAllah, kalian akan sentiasa dilindungi Allah SWT dari segala bencana selagi mana penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata.



Dr.Harlina Harlizah Hj Siraji

Friday, September 24, 2010

Titip Rindu Buat Ayah - Ebiet G. Ade

Bait-bait lagu ini sangat menyentuh perasaan aku. Menghayati bait2 lagu ini meruntun hati ku membuai kenangan bagaimana abah berkerja keras membesarkan kami 6 beradik sehingga kami berjaya. Namun aku sebagai anak tidak mampu membalas semua pengorbanan yang abah curahkan. Aku sangat ingin menjaga abah yang sedang sakit tapi abah tetap menolak setiap kali aku mengajak abah dan emak tinggal bersamaku.Walaupun banyak perkara abah telah lupa tapi abah tetap sayangkan rumahnya sama seperti dulu.

k

Sunday, August 22, 2010

GEMBIRA KE SEDIH?


Kalu ditanya rasa hati aku saat ni...sedih ke gembira... jawab aku mudah aje Kedua-duanya ada...berkongsi rasa dalam ruang hati yang sama....


Kenape gumbira ...? kerana tak berapa hari lagi Miss Nabby akan pulang ke tanah air untuk berpuasa bersama kami sekeluarga dan Menyambut Aidil fitri bersama-sama. Jadi aku tengah countdown la... ni. InsyaAllah miss Nabby akan menjejak kaki di Kulim pada pagi Rabu ni....2 hari lagi...

Jumaat ni ...Miss Nawuki juga akan balik sempena cuti Nuzul Quran..... Penerbangan di taja oleh MissRaihan. Tq kakak !.Jadi selama tiga hari nanti dapatlah kami sekeluarga berbuka bersama-sama.. Alhamdulillah setakat ini ikatan kasih sayang antara anak-anak dan keluarga sangat kuat. Kami sebolehnya mencari ruang dan masa untuk berkumpul sekeluarga... Ni nak kena O..... Som menu untuk berbuka ni... Masing-masing ada cita rasa sendiri.. tapi yang tak de! nya masa yang panjang...

Sementara anak-anak belum berkeluarga sendiri, aku memang sebolehnya mencari ruang untuk bersama. Kalu nanti masing-masing dah berkeluarga tentunya sukar nak plan-plan camni... Masing-masing ada komitmen sendiri.

Apa pula yang sedih tu.... Sedihnya aku membilang hari , kakak akan berangkat balik ke Dublin pada tanggal 4/9/2010. Seminggu sahaja lagi umat Islam nak beraya .. Mana mungkin hati seorang ibu tak terusik dan sayu. dah 5 tahun kami tidak beraya bersama .. Apakan daya kat Dublin sana Aidil Fitri bukannya depa kisah pun ... Aku selalu pujuk hati... 5 tahun bukannya lama TAPI kenyataannya SANGAT LAMAAAAAAAAA...........

Wednesday, August 18, 2010

Ramadhan Bertandang Lagi

Telah seminggu Ramadhan berlalu .Terlalu cepatnya masa bergerak... Tak tertahan dek tangan untuk melambatkan pergerakannya. AlHamdulillah sekali lagi aku diberikan Allah bersua dengan Bulan yang mulia ini. Yang didalamnya rahmah dan maghfirah. Ramadhan kehadirannya disambut dengan berbagai rasa. Semasa zaman kanak-kanak aku gembira menyambut Ramadhan kerana penghujungnya kami akan mendapat persalinan baru menyambut Aidilfitri. Kemeriahan Ramadhan dulu amat berbeza dengan sekarang.

Walaupun dulu tak ada bazar ramadhan namun hidangan tetap berbagai jenis dan menyelerakan . Setiap petang pasti kami adik beradik akan disuruh oleh mak menghantar hidangan kerumah saudara mara yang juga menjadi jiran kami. saat ni memang best .. berlumba-lumba nak menghantar kerana nak tengok apa balasan juadah yang akan kami terima...namun sekarang budaya tersebut telah terhakis . masing-masing sibuk dengan kerja lalu kuih tunjuklah yang menjadi pilihan. Namun , walaupun dalam keterbatasan waktu aku tetap menyediakan juadah berbuka sendiri dibantu anak2. Walaupun hanya 1 juadah berat dan satu jenis kuih namun ianya mencukupi buat kami dan saat berbuka tetap menjadi saat yang menggembirakan buat kami sekeluarga.
Satu lagi kenangan yang tak dapat aku lupakan ialah menunggu penjual air batu. Zaman aku kanak=kanak, mana ada peti ais kat rumah . Setiap petang penjual ais akan mengelilingi kampung menjual ais yang diselimuti habuk papan ( supaya ais tak cair) Kreatif kan org dulu2. Huuuu... nikmatnya bila berbuka dapat meneguk air ais . Masa kami kanak-kanak mak memang dah sediakan gelas setiap seorang satu ,siap tulis nama lagi. Bukannya apa, nak elakkan perebutan... maklumlah ramai adik -beradik.
Sekarang ni walaupun peti ais dah ada dalam rumah tapi kami tak berbuka dengan air ais pun , kan dah kes pelik tu...
Saat yang paling menggembirakan ialah menunggu masuk waktu berbuka. Kami adik beradik akan berkumpul ditepi jalan raya yang menghadap sawah padi untuk melihat dan mendengar tembakan meriam menandakan masuknya masuk waktu berbuka. Bila dentuman meriam berbunyi dan cahayanya kelihatan di kaki langit kami akan berlari pulang dengan gembiranya, tanda telah selesai sehari berpuasa. Zaman tu mana ada radio yang siarkan azan. Namun kini semua tu hanya menjadi kenangan dan nostalgia.